Saturday, July 4, 2009

PANDUAN BELI INSURANS MOTOR

Terdapat banyak aspek yang perlu diambilkira di dalam pembelian kenderaan.Insurans merupakan salah satu daripadanya. Beri perhatian terhadap perkara yang disenaraikan di bawah apabila anda ingin membeli insurans motor:


Nilai diinsuranskan/jumlah diinsuranskan

Sekiranya anda membeli polisi untuk melindungi kerugian/ kerosakan kepada kenderaan anda, anda perlu memastikan bahawa kenderaan anda telah diinsuranskan secukupnya kerana ini akan memberi kesan ke atas jumlah yang anda boleh tuntut sekiranya berlaku kerugian/ kerosakan. Bagi kenderaan baru, jumlah diinsuranskan adalah harga beli manakala bagi kenderaan lain, nilai diinsuranskan adalah nilai pasaran kenderaan tersebut semasa anda memohon polisi insurans.

Apabila anda mendapatkan perlindungan insurans, pastikan anda tidak:

Terkurang insurans – Sekiranya anda menginsuranskan kenderaan anda pada nilai yang lebih rendah daripada nilai pasaran, anda akan dianggap menginsuranskan sendiri perbezaan nilai tersebut, iaitu, jika berlaku kerugian/ kerosakan, anda akan hanya dibayar sebahagian ganti rugi (setakat bahagian yang diinsuranskan) oleh syarikat insurans anda.

Terlebih insurans – Sekiranya anda menginsuranskan kenderaan anda pada jumlah yang lebih tinggi daripada nilai pasaran, pembayaran ganti rugi maksimum yang akan anda terima adalah nilai pasaran kenderaan tersebut kerana pemegang polisi tidak boleh ‘mendapat keuntungan’ daripada tuntutan insurans motor.


Kewajipan pendedahan

Anda perlu mendedahkan sepenuhnya semua fakta penting, termasuk tentang kemalangan sebelumnya (jika ada), pengubahsuaian kepada enjin dan lain-lain. Sekiranya anda ragu-ragu sama ada sesuatu fakta itu relevan atau tidak, adalah lebih baik bertanya kepada syarikat insurans anda.

Sekiranya anda gagal mendedahkan mana-mana fakta penting, syarikat insurans anda berhak menolak tuntutan anda dan sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga terhadap anda. Dalam kes sedemikian, anda sendiri adalah bertanggungjawab terhadap tuntutan tersebut.


Harga

Harga yang anda bayar untuk insurans motor bergantung kepada jenis polisi yang dipilih. Premium insurans yang dikenakan oleh syarikat insurans anda adalah kadar minimum yang standard menurut Tarif Motor. Anda boleh mengira premium yang dikenakan dengan kalkulator premium kami.Sebagai tambahan kepada kadar minimum yang standard, syarikat insurans anda mungkin mengenakan premium tambahan yang dipanggil bebanan premium kepada premium yang perlu dibayar. Ini disebabkan faktor risiko yang terlibat adalah lebih tinggi seperti usia kenderaan dan pengalaman tuntutan. Bebanan premium dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat insurans tidak boleh mengenakan bebanan premium yang lebih tinggi daripada kadar yang dibenarkan oleh BNM.

Skim ganjaran seperti diskaun-tanpa-tuntutan [‘no-claim-discount’ (NCD)] dapat menjimatkan wang dengan mengurangkan premium anda. Kadar NCD yang berlainan adalah dikenakan bagi kelas kenderaan yang berlainan. Bagi kereta persendirian, skala NCD adalah di antara 25% hingga 55% seperti yang dinyatakan di dalam polisi.

SOALAN LAZIM YANG MEMBANTU ANDA

Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:

Soalan Lazim Insurans motor


Sekiranya saya membeli polisi motor komprehensif, adakah semua kerugian saya dilindungi?

Tidak semua kerugian akan dilindungi oleh polisi komprehensif. Di bawah polisi komprehensif, anda akan dilindungi bagi tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga ke atas kematian, kecederaan tubuh badan dan kerosakan harta benda yang disebabkan oleh kenderaan anda. Anda juga akan dilindungi terhadap kerugian atau kerosakan ke atas kenderaan anda akibat kebakaran, kecurian atau sebarang kemalangan. Walau bagaimanapun, terdapat banyak pengecualian. Anda perlu menyemak polisi anda terhadap pengecualian-pengecualian tersebut. Anda juga perlu tahu bahawa kematian dan kecederaan tubuh badan pemandu dan penumpang kenderaan anda tidak dilindungi di bawah perlindungan komprehensif.


Mengapakah saya tidak boleh menginsuranskan kenderaan saya pada sebarang nilai yang saya fikir munasabah? Sekiranya saya membuat tuntutan,saya berharap syarikat insurans akan membayar saya pada amaun yang telah saya insuranskan.

Adalah mustahak untuk menginsuranskan kenderaan anda pada nilai pasaran dan bukan pada nilai yang anda mahu bagi mengelakkan terlebih atau terkurang insurans. Terlebih insurans berlaku apabila anda menginsuranskan kenderaan anda pada nilai yang lebih tinggi daripada nilai pasaran. Apabila anda membuat tuntutan, syarikat insurans hanya akan membayar anda mengikut harga pasaran kenderaan anda. Sekiranya anda terlebih insurans ke atas kenderaan anda, anda telah membayar premium yang lebih tinggi, tetapi sebenarnya tidak perlu. Terkurang insurans berlaku apabila jumlah yang diinsuranskan lebih rendah daripada nilai pasaran. Dalam kes ini, anda adalah dianggap 'menginsuranskan sendiri' perbezaan di antara kedua-dua nilai tersebut. Oleh yang demikian, sekiranya berlaku kerosakan, anda perlu menanggung bahagian yang anda insuranskan sendiri, daripada keseluruhan jumlah kos membaiki kenderaan anda. Contohnya, sekiranya anda menginsuranskan kenderaan anda sebanyak 80% daripada nilai pasaran, syarikat insurans akan hanya membayar 80% daripada jumlah kos pembaikannya. Sentiasa semak dengan pemegang francais kenderaan tentang nilai pasaran kenderaan anda untuk mengelakkan terlebih atau terkurang insurans. Anda boleh bertanya kepada syarikat insurans/ejen anda untuk mendapatkan pengesahan daripada pemegang francais kenderaan tentang amaun yang sepatutnya diinsuranskan.


Dalam sesuatu kemalangan yang mana saya bukanlah pihak yang bersalah, bagaimana saya boleh membuat tuntutan terhadap pihak yang sebenarnya bersalah?

Anda mempunyai pilihan sama ada untuk mengemukakan tuntutan pihak ketiga kepada syarikat insurans pihak ketiga, atau sekiranya anda mempunyai polisi Komprehensif, anda boleh membuat tuntutan terhadap syarikat insurans anda sendiri. Sekiranya anda membuat tuntutan kepada syarikat insurans anda sendiri, anda tidak akan kehilangan NCD dan tuntutan tersebut akan diproses lebih cepat memandangkan syarikat insurans anda telah mempunyai maklumat tentang latar belakang anda. Walau bagaimanapun, anda perlu mengemukakan tuntutan `pampasan bagi masa pembaikan sebenar' dan tuntutan bagi ganti rugi ekses kepada syarikat insurans pihak ketiga yang bersalah. Jumlah hari bagi pampasan untuk 'masa pembaikan sebenar' yang boleh anda tuntut adalah berdasarkan kepada jumlah hari yang diperlukan untuk membaiki kenderaan anda seperti yang ditentukan oleh pelaras kerugian yang dilantik untuk menilai kerosakan kenderaan anda.


Sekiranya saya terlibat dalam kemalangan berantai, kepada siapakah saya perlu membuat tuntutan?

Dalam kemalangan berantai, bagi kerosakan kenderaan (prosedur ini tidak boleh diguna pakai bagi kematian dan kecederaan tubuh badan), anda perlu membuat tuntutan terhadap syarikat insurans kenderaan yang berada betul-betul di belakang anda dan anda tidak akan kehilangan NCD. Sekiranya kenderaan anda merupakan kenderaan yang paling belakang dalam kemalangan berantai tersebut, anda tidak boleh membuat apa-apa tuntutan terhadap kenderaan-kenderaan lain yang terlibat. Walau bagaimanapun, anda boleh membuat tuntutan kerosakan sendiri daripada syarikat insurans anda sekiranya anda mempunyai perlindungan komprehensif.


Walaupun kenderaan saya telah dibaiki selepas kemalangan, nilainya telah turun. Mengapakah saya tidak boleh membuat tuntutan terhadap susut nilai memandangkan saya tidak bersalah ke atas kemalangan tersebut?

Ini adalah selaras dengan prinsip indemniti. Polisi insurans anda akan membayar gantirugi kerugian/kerosakan kenderaan anda dengan meletakkan anda pada keadaan yang sama sebelum kemalangan tersebut berlaku. Oleh itu, anda tidak boleh 'mendapat keuntungan' daripada penyelesaian tuntutan insurans.Apabila kenderaan yang rosak itu dibaiki, ia akan kembali kepada keadaan asal sebelum kemalangan tersebut. Oleh yang demikian, isu berhubung dengan susut nilai tidak sepatutnya timbul.


Mengapakah syarikat insurans mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan tuntutan kecurian kenderaan saya?

Syarikat insurans biasanya membayar tuntutan kecurian dalam tempoh enam bulan atau apabila siasatan polis telah selesai, mengikut mana yang lebih awal. Masa adalah diperlukan oleh syarikat insurans atau polis untuk membuat penyiasatan dan kemungkinan kenderaan terbabit dapat ditemui semasa penyiasatan.


Apabila saya membuat tuntutan terhadap syarikat insurans kenderaan yang melanggar kenderaan saya, syarikat insurans berkenaan enggan membayar tuntutan saya kerana pemegang polisinya tidak membuat laporan. Mengapakah ini terjadi?

Polisi insurans adalah kontrak di antara syarikat insurans dengan pemegang polisi. Sekiranya pemegang polisi tidak membuat laporan kepada syarikat insurans tentang sesuatu kemalangan, syarikat insurans tidak dapat melayan sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga memandangkan syarikat insurans tidak mempunyai kontrak dengan pihak ketiga tersebut.Oleh yang demikian, syarikat insurans pihak ketiga akan hanya bertanggungjawab menyelesaikan tuntutan anda sekiranya pemegang polisinya mengarahkan syarikat insurans supaya berbuat demikian bagi sesuatu kerugian/ kerosakan dalam suatu kemalangan yang disebabkan olehnya.Walau bagaimanapun, untuk memudahkan orang ramai, syarikat-syarikat insurans telah bersetuju untuk melayan tuntutan pihak ketiga walaupun pemegang polisi mereka tidak membuat laporan.

Anda hanya perlu mengemukakan tuntutan untuk pertimbangan syarikat insurans dalam tempoh 14 hari dari tarikh kemalangan bersama-sama dengan dokumen-dokumen berikut:

a) satu salinan laporan polis;
b) satu salinan laporan polis pemegang polisi, jika ada;
c) jika (b) tidak ada, boleh diganti dengan Akuan Berkanun menyatakan kejadian kemalangan dan mengenal pasti bahawa kenderaan pemegang polisi adalah pihak yang terlibat dalam kemalangan; dand) satu salinan laporan penyiasatan polis atau maklumat daripada polis sebagai bukti bahawa pemegang polisi syarikat insurans tersebut adalah pihak yang bersalah dalam kemalangan.


Bolehkah syarikat insurans menolak tuntutan di bawah senario berikut?
(a) Kenderaan saya dipinjamkan kepada kawan yang kemudiannya 'menghilangkan diri' dengan kereta tersebut.
(b) Kenderaan saya yang diiklankan untuk dijual dan salah seorang calon pembeli membawa kereta untuk dipandu uji dan telah tidak memulangkannya.

Kes-kes seperti ini adalah dianggap sebagai kelakuan jenayah pecah amanah dan menipu. Terdapat kecuaian juga di pihak pemilik kenderaan kerana tidak berhati-hati apabila menyerahkan harta benda kepada pihak lain. Kerugian/kerosakan yang timbul daripada kes-kes seperti ini tidak akan dibayar kerana ia dikecualikan di dalam kontrak insurans

Memilih Insurans Motor

Apabila memilih insurans motor, sentiasalah:

Menyemak terlebih dahulu harga pasaran kenderaan anda. Bagi kenderaan baru, jumlah diinsuranskan adalah harga beli kenderaan tersebut.


Memastikan kenderaan anda diinsuranskan dengan secukupnya kerana ia akan memberi kesan ke atas jumlah yang anda boleh tuntut.


Mendedahkan semua fakta penting termasuk tentang kemalangan yang lepas (jika ada), pengubahsuaian enjin dan lain-lain.

Jika ada sebarang keraguan, hubungi syarikat insurans anda untuk penerangan lebih lanjut.

Pastikan jumlah yang diinsuranskan merupakan nilai pasaran kenderaan anda dan bukan nilai lain untuk mengelakkan terlebih atau terkurang insurans.

Sekiranya anda terlibat di dalam kemalangan kenderaan dan mempunyai perlindungan komprehensif, anda boleh sama ada membuat tuntutan kerosakan sendiri atau tuntutan pihak ketiga. Kedua-dua tuntutan melibatkan prosedur berbeza. Hubungi syarikat insurans anda dengan kadar segera dan mengambil tindakan sebagaimana dinasihatkan syarikat insurans. Anda mungkin diminta hantarkan kenderaan anda ke bengkel yang diluluskan syarikat insurans. Pastikan anda menghantar semua dokumen berkenaan untuk menyokong tuntutan anda kepada syarikat insurans secepat mungkin.