Saturday, July 4, 2009

SOALAN LAZIM YANG MEMBANTU ANDA

Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:

Soalan Lazim Insurans motor


Sekiranya saya membeli polisi motor komprehensif, adakah semua kerugian saya dilindungi?

Tidak semua kerugian akan dilindungi oleh polisi komprehensif. Di bawah polisi komprehensif, anda akan dilindungi bagi tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga ke atas kematian, kecederaan tubuh badan dan kerosakan harta benda yang disebabkan oleh kenderaan anda. Anda juga akan dilindungi terhadap kerugian atau kerosakan ke atas kenderaan anda akibat kebakaran, kecurian atau sebarang kemalangan. Walau bagaimanapun, terdapat banyak pengecualian. Anda perlu menyemak polisi anda terhadap pengecualian-pengecualian tersebut. Anda juga perlu tahu bahawa kematian dan kecederaan tubuh badan pemandu dan penumpang kenderaan anda tidak dilindungi di bawah perlindungan komprehensif.


Mengapakah saya tidak boleh menginsuranskan kenderaan saya pada sebarang nilai yang saya fikir munasabah? Sekiranya saya membuat tuntutan,saya berharap syarikat insurans akan membayar saya pada amaun yang telah saya insuranskan.

Adalah mustahak untuk menginsuranskan kenderaan anda pada nilai pasaran dan bukan pada nilai yang anda mahu bagi mengelakkan terlebih atau terkurang insurans. Terlebih insurans berlaku apabila anda menginsuranskan kenderaan anda pada nilai yang lebih tinggi daripada nilai pasaran. Apabila anda membuat tuntutan, syarikat insurans hanya akan membayar anda mengikut harga pasaran kenderaan anda. Sekiranya anda terlebih insurans ke atas kenderaan anda, anda telah membayar premium yang lebih tinggi, tetapi sebenarnya tidak perlu. Terkurang insurans berlaku apabila jumlah yang diinsuranskan lebih rendah daripada nilai pasaran. Dalam kes ini, anda adalah dianggap 'menginsuranskan sendiri' perbezaan di antara kedua-dua nilai tersebut. Oleh yang demikian, sekiranya berlaku kerosakan, anda perlu menanggung bahagian yang anda insuranskan sendiri, daripada keseluruhan jumlah kos membaiki kenderaan anda. Contohnya, sekiranya anda menginsuranskan kenderaan anda sebanyak 80% daripada nilai pasaran, syarikat insurans akan hanya membayar 80% daripada jumlah kos pembaikannya. Sentiasa semak dengan pemegang francais kenderaan tentang nilai pasaran kenderaan anda untuk mengelakkan terlebih atau terkurang insurans. Anda boleh bertanya kepada syarikat insurans/ejen anda untuk mendapatkan pengesahan daripada pemegang francais kenderaan tentang amaun yang sepatutnya diinsuranskan.


Dalam sesuatu kemalangan yang mana saya bukanlah pihak yang bersalah, bagaimana saya boleh membuat tuntutan terhadap pihak yang sebenarnya bersalah?

Anda mempunyai pilihan sama ada untuk mengemukakan tuntutan pihak ketiga kepada syarikat insurans pihak ketiga, atau sekiranya anda mempunyai polisi Komprehensif, anda boleh membuat tuntutan terhadap syarikat insurans anda sendiri. Sekiranya anda membuat tuntutan kepada syarikat insurans anda sendiri, anda tidak akan kehilangan NCD dan tuntutan tersebut akan diproses lebih cepat memandangkan syarikat insurans anda telah mempunyai maklumat tentang latar belakang anda. Walau bagaimanapun, anda perlu mengemukakan tuntutan `pampasan bagi masa pembaikan sebenar' dan tuntutan bagi ganti rugi ekses kepada syarikat insurans pihak ketiga yang bersalah. Jumlah hari bagi pampasan untuk 'masa pembaikan sebenar' yang boleh anda tuntut adalah berdasarkan kepada jumlah hari yang diperlukan untuk membaiki kenderaan anda seperti yang ditentukan oleh pelaras kerugian yang dilantik untuk menilai kerosakan kenderaan anda.


Sekiranya saya terlibat dalam kemalangan berantai, kepada siapakah saya perlu membuat tuntutan?

Dalam kemalangan berantai, bagi kerosakan kenderaan (prosedur ini tidak boleh diguna pakai bagi kematian dan kecederaan tubuh badan), anda perlu membuat tuntutan terhadap syarikat insurans kenderaan yang berada betul-betul di belakang anda dan anda tidak akan kehilangan NCD. Sekiranya kenderaan anda merupakan kenderaan yang paling belakang dalam kemalangan berantai tersebut, anda tidak boleh membuat apa-apa tuntutan terhadap kenderaan-kenderaan lain yang terlibat. Walau bagaimanapun, anda boleh membuat tuntutan kerosakan sendiri daripada syarikat insurans anda sekiranya anda mempunyai perlindungan komprehensif.


Walaupun kenderaan saya telah dibaiki selepas kemalangan, nilainya telah turun. Mengapakah saya tidak boleh membuat tuntutan terhadap susut nilai memandangkan saya tidak bersalah ke atas kemalangan tersebut?

Ini adalah selaras dengan prinsip indemniti. Polisi insurans anda akan membayar gantirugi kerugian/kerosakan kenderaan anda dengan meletakkan anda pada keadaan yang sama sebelum kemalangan tersebut berlaku. Oleh itu, anda tidak boleh 'mendapat keuntungan' daripada penyelesaian tuntutan insurans.Apabila kenderaan yang rosak itu dibaiki, ia akan kembali kepada keadaan asal sebelum kemalangan tersebut. Oleh yang demikian, isu berhubung dengan susut nilai tidak sepatutnya timbul.


Mengapakah syarikat insurans mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan tuntutan kecurian kenderaan saya?

Syarikat insurans biasanya membayar tuntutan kecurian dalam tempoh enam bulan atau apabila siasatan polis telah selesai, mengikut mana yang lebih awal. Masa adalah diperlukan oleh syarikat insurans atau polis untuk membuat penyiasatan dan kemungkinan kenderaan terbabit dapat ditemui semasa penyiasatan.


Apabila saya membuat tuntutan terhadap syarikat insurans kenderaan yang melanggar kenderaan saya, syarikat insurans berkenaan enggan membayar tuntutan saya kerana pemegang polisinya tidak membuat laporan. Mengapakah ini terjadi?

Polisi insurans adalah kontrak di antara syarikat insurans dengan pemegang polisi. Sekiranya pemegang polisi tidak membuat laporan kepada syarikat insurans tentang sesuatu kemalangan, syarikat insurans tidak dapat melayan sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga memandangkan syarikat insurans tidak mempunyai kontrak dengan pihak ketiga tersebut.Oleh yang demikian, syarikat insurans pihak ketiga akan hanya bertanggungjawab menyelesaikan tuntutan anda sekiranya pemegang polisinya mengarahkan syarikat insurans supaya berbuat demikian bagi sesuatu kerugian/ kerosakan dalam suatu kemalangan yang disebabkan olehnya.Walau bagaimanapun, untuk memudahkan orang ramai, syarikat-syarikat insurans telah bersetuju untuk melayan tuntutan pihak ketiga walaupun pemegang polisi mereka tidak membuat laporan.

Anda hanya perlu mengemukakan tuntutan untuk pertimbangan syarikat insurans dalam tempoh 14 hari dari tarikh kemalangan bersama-sama dengan dokumen-dokumen berikut:

a) satu salinan laporan polis;
b) satu salinan laporan polis pemegang polisi, jika ada;
c) jika (b) tidak ada, boleh diganti dengan Akuan Berkanun menyatakan kejadian kemalangan dan mengenal pasti bahawa kenderaan pemegang polisi adalah pihak yang terlibat dalam kemalangan; dand) satu salinan laporan penyiasatan polis atau maklumat daripada polis sebagai bukti bahawa pemegang polisi syarikat insurans tersebut adalah pihak yang bersalah dalam kemalangan.


Bolehkah syarikat insurans menolak tuntutan di bawah senario berikut?
(a) Kenderaan saya dipinjamkan kepada kawan yang kemudiannya 'menghilangkan diri' dengan kereta tersebut.
(b) Kenderaan saya yang diiklankan untuk dijual dan salah seorang calon pembeli membawa kereta untuk dipandu uji dan telah tidak memulangkannya.

Kes-kes seperti ini adalah dianggap sebagai kelakuan jenayah pecah amanah dan menipu. Terdapat kecuaian juga di pihak pemilik kenderaan kerana tidak berhati-hati apabila menyerahkan harta benda kepada pihak lain. Kerugian/kerosakan yang timbul daripada kes-kes seperti ini tidak akan dibayar kerana ia dikecualikan di dalam kontrak insurans

No comments:

Post a Comment