Saturday, July 4, 2009

PANDUAN BELI INSURANS MOTOR

Terdapat banyak aspek yang perlu diambilkira di dalam pembelian kenderaan.Insurans merupakan salah satu daripadanya. Beri perhatian terhadap perkara yang disenaraikan di bawah apabila anda ingin membeli insurans motor:


Nilai diinsuranskan/jumlah diinsuranskan

Sekiranya anda membeli polisi untuk melindungi kerugian/ kerosakan kepada kenderaan anda, anda perlu memastikan bahawa kenderaan anda telah diinsuranskan secukupnya kerana ini akan memberi kesan ke atas jumlah yang anda boleh tuntut sekiranya berlaku kerugian/ kerosakan. Bagi kenderaan baru, jumlah diinsuranskan adalah harga beli manakala bagi kenderaan lain, nilai diinsuranskan adalah nilai pasaran kenderaan tersebut semasa anda memohon polisi insurans.

Apabila anda mendapatkan perlindungan insurans, pastikan anda tidak:

Terkurang insurans – Sekiranya anda menginsuranskan kenderaan anda pada nilai yang lebih rendah daripada nilai pasaran, anda akan dianggap menginsuranskan sendiri perbezaan nilai tersebut, iaitu, jika berlaku kerugian/ kerosakan, anda akan hanya dibayar sebahagian ganti rugi (setakat bahagian yang diinsuranskan) oleh syarikat insurans anda.

Terlebih insurans – Sekiranya anda menginsuranskan kenderaan anda pada jumlah yang lebih tinggi daripada nilai pasaran, pembayaran ganti rugi maksimum yang akan anda terima adalah nilai pasaran kenderaan tersebut kerana pemegang polisi tidak boleh ‘mendapat keuntungan’ daripada tuntutan insurans motor.


Kewajipan pendedahan

Anda perlu mendedahkan sepenuhnya semua fakta penting, termasuk tentang kemalangan sebelumnya (jika ada), pengubahsuaian kepada enjin dan lain-lain. Sekiranya anda ragu-ragu sama ada sesuatu fakta itu relevan atau tidak, adalah lebih baik bertanya kepada syarikat insurans anda.

Sekiranya anda gagal mendedahkan mana-mana fakta penting, syarikat insurans anda berhak menolak tuntutan anda dan sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga terhadap anda. Dalam kes sedemikian, anda sendiri adalah bertanggungjawab terhadap tuntutan tersebut.


Harga

Harga yang anda bayar untuk insurans motor bergantung kepada jenis polisi yang dipilih. Premium insurans yang dikenakan oleh syarikat insurans anda adalah kadar minimum yang standard menurut Tarif Motor. Anda boleh mengira premium yang dikenakan dengan kalkulator premium kami.Sebagai tambahan kepada kadar minimum yang standard, syarikat insurans anda mungkin mengenakan premium tambahan yang dipanggil bebanan premium kepada premium yang perlu dibayar. Ini disebabkan faktor risiko yang terlibat adalah lebih tinggi seperti usia kenderaan dan pengalaman tuntutan. Bebanan premium dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat insurans tidak boleh mengenakan bebanan premium yang lebih tinggi daripada kadar yang dibenarkan oleh BNM.

Skim ganjaran seperti diskaun-tanpa-tuntutan [‘no-claim-discount’ (NCD)] dapat menjimatkan wang dengan mengurangkan premium anda. Kadar NCD yang berlainan adalah dikenakan bagi kelas kenderaan yang berlainan. Bagi kereta persendirian, skala NCD adalah di antara 25% hingga 55% seperti yang dinyatakan di dalam polisi.

No comments:

Post a Comment